Tuesday 26 November 2019

UTM lancar 'Dermags Scar Corrector Serum' untuk kurang kesan parut wajah




JOHOR BAHRU, 20 Nov -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini melancarkan produk Dermags Scar Corrector Serum dengan AndroEX, hasil kajian pensyarah kanan Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga, Fakulti Kejuruteraan universiti berkenaan, Dr Mariani Abdul Hamid.

Produk dihasil dan dikomersialkan anak syarikat hiliran UTM, Biopro Cosmeceutical Sdn Bhd itu merupakan serum rawatan wajah berkepekatan tinggi, bebas minyak serta dirumus khas untuk mengurangkan kesan parut dan tona kulit tidak sekata.

Mariani yang juga Pengarah Urusan Biopro Cosmeceutical berkata Dermags Scar Corrector Serum dengan AndroEX tersebut merupakan produk kosmetik pertama menggunakan teknologi ‘nanoemulgel’ yang berfungsi dalam meningkatkann kadar penyerapan bahan aktif ke dalam kulit.

“Serum ini diformulasi dengan AndroEX yang merupakan bahan aktif penting yang dipaten di bawah UTM daripada ekstrak daun pokok hempedu bumi.

“Kombinasi teknologi nanoemulgel dan ekstrak daun hempedu bumi mampu menghasilkan kebolehserapan tinggi dengan kesan penyembuhan luka dan pemulihan parut yang lebih efektif pada wajah,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran produk berkenaan oleh Naib Canselor UTM Prof Datuk Ir Wahid Omar, di UTM, hari ini.

Mengulas lanjut, Mariani berkata penyelidikan penghasilan serum tersebut dibuat ketika beliau melanjutkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Dongguk, Seoul, Korea Selatan pada 2009 sebelum penyelidikan lanjut diteruskan pada 2012 sejurus beliau pulang ke negara ini.

Menurutnya, hasil ciptaan berkenaan berjaya memenangi beberapa pingat antaranya dua pingat emas bagi ‘Most Commercial Ready Product’ dan ‘Most Innovative Product’ serta finalis bagi ‘Produk Paling Komersial’ sempena Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2018.

Mariani berkata Dermags Skin Corrector Serum dengan AndroEX itu akan berada di pasaran pada 1 Dis ini dengan harga RM189.90 sebotol bersaiz 30 ml.

Buat permulaan, sebanyak 1,000 botol produk itu akan dijual menerusi laman web www.dermags.com.my dan 4,000 pengedar sah seluruh negara, katanya.

--  BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...